Sejarah

Sekitar tahun 1960-an, Kampung Melayu Raya yang terletak lebih kurang 35km dari Bandar Pontian dan 125 km dari Bandaraya Johor Bahru agak ketinggalan daripada aspek pembangunan berbanding kampung di sekitarnya seperti Kampung Sawah dan Kampung Parit Hj Adnan yang jaraknya hanya kira-kira enam kilometer.

Bulat air kerana pembentong, bulat suara kerana permuafakatan. Begitulah gambaran kehidupan penduduk setempat. Penduduk Kampung Melayu Raya ingin melihat anak-anak mereka memperolehi pelajaran seperti anak-anak kampung yang lain yang terlebih dahulu mempunyai bangunan sekolah di atas bantuan penuh kerajaan.

Berasaskan kesedaran dan semangat kerjasama, beberapa orang penduduk Kampung Melayu Raya tampil ke hadapan menyuarakan pendapat dan mengembeling tenaga sebagai pembuka kemajuan pendidikan di kampung ini. Antara mereka yang memainkan peranan utama dalam usaha ini ialah En. Miskam bin Gimon, Tuan Hj Mohammad Yusof bin Rahmat, Tuan Hj Japri bin Manggi dan Tuan Hj Mohd Khalid bin Saiman.

Pada 8 Februari 1964, penduduk kampung bergotong-royong mendirikan sebuah pondok yang berukuran 40 kaki persegi untuk dijadikan tempat belajar kepada anak-anak kampung Melayu Raya. Pondok yang hanya berbumbungkan atap rumbia, berdindingkan papan dan berlantaikan tanah merah. Malah sejak sekian lama para guru dan murid belajar tanpa mendapat kemudahan elekrik.

Tuan Hj Mohd. Khalid Bin Saiman telah menawarkan dirinya sebagai guru pertama mengajar di sekolah ini dengan berbekalkan ilmu pengetahuan tanpa mendapat latihan dari mana-mana Maktab Perguruan, Universiti dan sebagainya. Murid ketika itu seramai 78 orang dan sesi persekolahan berlangsung pada sebelah pagi sahaja. Kemudahan yang ada untuk murid-murid belajar pada ketika itu hanyalah meja dan kerusi yang diperbuat dari kepingan papan panjang tanpa dipotong rapi. Manakala papan hitam diperbuat dari sekeping papan ‘plywood’ yang dicat dengan warna hitam berukuran 4 x 6 kaki.

En. Miskam Bin Gunon dan Tuan Hj Mohammad Yusof Bin Rahmat bermurah hati mewakafkan kawasan lapang seluas enam ekar (tiga ekar setiap seorang) untuk dijadikan tapak sekolah. Kemudahan sekolah yang serba kekurangan amat tidak selesa untuk proses pembelajaran dan pengajaran terutama menjelang tengahari. Sebagai altenatif, para guru terpaksa membawa keluar murid-muridnya belajar di bawah pokok di sekitar kawasan sekolah. Berbagai ikhtiar telah diusahakan oleh penduduk kampung bagi memperbaiki dan memohon kemudahan asas selari dengan kemajuan pembangunan semasa. Akhirnya, Jabatan Pendidikan menyalurkan bantuan atap zink dan lantai simen kepada sekolah ini.

Pada tahun 1966, murid sekolah ini telah meningkat kepada 120 orang. Memandangkan peningkatan murid amat menggalakkan, Jabatan Pendidikan Johor dan Pejabat Pendidikan Pontian telah mengizinkan sekolah ini ditadbir secara berasingan dengan pentadbiran Sekolah Kebangsaan Kampung Sawah. Setelah kelulusan tersebut, penduduk kampung bersepakat untuk menamakan sekolah ini sebagai Sekolah Kebangsaan Melayu Raya (SKMR). Guru Besar yang pertama adalah En. Joni bin Gimin dan beliau dibantu 6 orang guru terlatih berkelulusan Maktab Perguruan sebagai pemangkin kemajuan pendidikan Sekolah Kebangsaan Melayu Raya.

Tercatat dalam sejarah SKMR iaitu 9 Februari 1975, Menteri Pendidikan Malaysia YB Dato' Seri Dr Mahathir bin Mohammad telah mengadakan lawatan rasmi untuk melihat dan seterusnya merasmikan sebuah bangunan dua tingkat yang menelan belanja RM 150 000 mempunyai enam buah bilik darjah, sebuah pejabat Guru Besar, sebuah, sebuah pondok, tandas guru dan murid yang dilengkapi elektrik dan pam air tandas. Pada tahun 1995 sebuah bangunan pasang siap satu tingkat telah dibina oleh kerajaan atas dasar penambahan jumlah murid kepada 244 orang. Bangunan ini dilengkapi empat buah kelas yang menelan belanja RM 80 000, lengkap dengan kemudahan elektrik.

Memandangkan peningkatan murid amat menggalakkan sehingga mencapai 310 orang murid, maka pihak sekolah telah memohon bantuan kerajaan mendirikan sebuah bangunan tiga tingkat. Pada tahun 1998, sebuah bangunan baru 3 tingkat dibina. Bangunan tersebut turut dilengkapi kemudahan Makmal Sains, Makmal Kemahiran Hidup, Bilik Muzik, Bilik Komputer, Pusat Sumber, Bilik SPBT, Bilik Mesyuarat, Bilik Tayangan, Bilik Guru, Tandas Guru dan Murid, Stor PJ dan 7 bilik darjah.

Pada tahun 1998 sebuah lagi bangunan setingkat Pusat Sumber Sekolah (PSS) telah dibina  yang lengkap dengan sebuah perpustakaan, bilik Audio, bilik penyelaras PSS, bilik stor dan bilik mesyuarat. Di sebelah bangunan PSS terdapat sebuah bangunan kantin sekolah yang dibina dalam tahun 1975 yang boleh menampung 200 orang murid. Sekolah Kebangsaan Melayu Raya sebuah gelanggang bola keranjang, sebuah gelanggang sepak takraw dan sebuah padang bola sepak yang dibina pada tahun 1990-an.

Sehingga kini, SKMR telah ditadbirkan seramai tujuh orang Guru Besar iaitu En. Joni bin Gimin, En. Bakri bin Sahid, En. Mohd Tahabin Md Taha, En. Hassan bin Hamid, En. Nizaruddin bin Hassan, En Alias bin Ahmad Nawi dan En. Sadan bin Kosanon . En Sadan bin Kosanon mula bertugas di Sekolah Kebangsaan Melayu Raya pada 01 Oktober 2003 sehingga kini. Diantara guru yang pernah menyandang jawatan Guru Penolong Kanan ialah Tuan Hj Abd Raub bin Abd Samad, En. Harun bin Othman, En.Abd. Latif bin Ahmad, En. Abd. Raub bin Hj Ibrahim, En. Mokhtar bin Hj Jastad, En. Zamrud bin Misdi, En. Mohd. Ali bin Zakaria, En. Abd. Razak bin Jaafar, dan En. Abd. Aziz bin Jaafar .

Pada tahun 2002 sekolah ini telah dikategorikan ke Gred A Luar Bandar. Pada ketika itu, sekolah ini ditadbir oleh En Alias bin Ahmad Nawi dibantu oleh Guru-guru Penolong Kanan Hakiki iaitu En. Abd Raub Bin Hj Ibrahim (GPK Pentadbiran), Pn. Hjh. Yatimah Bt Abd Rahim (GPK HEM) diganti dan En. Jonit Bin Karsin (GPK Kokurikulum).

Pada Tahun 2010, sekolah ini ditadbir oleh En. Sadan bin Kosanon sebagai Guru Besar dan dibantu oleh Pn. Hjh Zainab binti Zainon (GPK Pentadbiran), En. Jonit bin Karsin (GPK HEM) dan Pn. Nor Azizie binti Ja’afar (GPK Kokurikulum). SKMR turut mempunyai dua orang Guru Cemerlang iaitu En. Mokhtar bin Jastad (Bahasa Melayu) dan Pn. Hjh Zaiton binti Md Rozali (Sains). SKMR menampung seramai 343 orang murid termasuk Pra sekolah dan Pendidikan Khas selain mempunyai sejumlah 35 orang guru, dua orang Pembantu Tadbir, seorang Pembantu Pra Sekolah, seorang Pembantu Pendidikan Khas, seorang Juruteknik Komputer dan seorang Pembantu Am Pejabat. SKMR turut dibantu oleh kakitangan swasta iaitu dua orang pengawal keselamatan dan tiga orang pekerja am.

© 2010 All rights reserved.

Create a free websiteWebnode